Kini diseberang jalan sana, tumbuh bak cendawan restoran makanan cepat gaya Amerika. Terus menenggelamkan dia. Di samping suara-suara penyanyi yang tidak tahu suaranya sumbang memekik terus melepasi jendela-jendela rumah. Kampung ini sudah tiada gagahnya, sudah hilang keanak-anakkannya. Di telan zaman yang makin lupa dan tidak hirau.
Menonton telefilem Parit Jawa baru-baru ini, membuat aku terfikir. Apa yang telah aku lakukan untuk memelihara asal usulku. Apa perlu aku ceritakan pada Kasih bila dia bertanya asal usulnya. Dalam diriku tiada Kang Arman yang sentiasa memelihara asal usul akar umbinya. Kang Arman sentiasa mahu bertutur dalam bahasa Jawanya, menjaga keluarga dan tanah warisannya. Kini orang jawa pun sudah tidak mampu bertutur bahasa jawa. Yang ditahunya "kabare", "waras" dan "wes mangan". Tak pun gaya percakapan seperti pelawak slapstik masyhur Abon yang bukan orang jawa.
Asal usul...apa yang aku tahu tentang diriku? Yang aku tahu cicit keturunan Wan Mat Saman yang aku sendiri tidak tahun keseluruhannya. Namun begitu, apa yang paling penting, akar yang kuat akan terus mencengkam pada tanah warisannya. Walau ribut taufan melanda, walau hujan kemarau kering semusim, ia tetap teguh.

No comments:
Post a Comment